ayah....ibu...adikk tak salah! :')


"Adik tak buat apa-apa. Adik tak..." Belum sempat Balqis menghabiskan tutur katanya, ayah memberikan satu lagi libasan tali pinggangnya di belakang Balqis. Ibunya hanya mampu melihat. Balqis meraih simpati ibunya namun tetap diendahkan. "Dah berapa kali ayah cakap, jangan kacau pasu antik tu! Tengok kan dah pecah!!!" Ayahnya melepaskan kemarahan sambil melibas sekali lagi tubuh badan Balqis yang nampak semakin lemah itu. Tidak cukup dengan hukuman yang kejam itu, Balqis dikurung di dalam biliknya pula. "Jangan harap dapat makan malam ni!" Ayah memberikan amaran keras. Balqis hanya dapat menitiskan air matanya. Dia berasa sedih kerana bukan dia sebenarnya yang memecahkan pasu antik milik ayahnya itu. Kebetulan dia baru balik dari sekolah dan sedang berehat di ruang tamu, apabila ayah dan ibunya sampai dan ternampak pasu itu yang telah pecah.








Dengan hati yang kecewa, Balqis mengambil sekeping kertas dan mula menulis. Dia meluahkan segala isi hatinya dengan menterjemahkannya melalui tulisannya di atas kertas tersebut. Selesai saja menulis, Balqis menyeka matanya yang berlinang dengan air mata. Dia nekad, hari tu juga dia akan lari dari rumah. Setelah siap mengemas pakaian, dia melihat biliknya untuk kali terakhir. Dengan perlahan dia membuka tingkap rumahnya....








Ibu dan ayah Balqis tidak tahu yang anak mereka telah pun lari. Mereka sedang menikmati makan malam mereka. Tiba-tiba, ada seekor kucing datang masuk ke rumah tu. "Bang, tengok kucing tu datang lagi." kata ibu sambil menunjuk ke arah kucing jiran mereka yang selalu datang ke rumah itu. Ayah hanya menyuruh agar dibiarkan saja kucing itu. Tanpa diduga, kucing itu melompat ke atas bekas meja pasu antik yang pecah itu dan tidur di atas sana. Sebelum kucing itu tidur, sebuah pasu bunga yang baru saja diletakkan di sana untuk menggantikan pasu antik yang telah pecah petang tadi, ditolak sampai terjatuh ke lantai oleh kucing tersebut. Ibu dan ayah Balqis melihat kejadian itu lalu wajah mereka pun berubah. Mereka teringat kembali Balqis yang dihukum petang tadi. Perasaan bersalah tiba-tiba datang menerjah.








Ayah Balqis pun meluru ke bilik anaknya dan membuka pintu. Namun apabila dilihat, Balqis sudah tiada dan kelihatan tingkap bilik berbuka tanpa ditutup. Ibu Balqis mula semakin risau akan anaknya itu. Ayahnya pula semakin bimbang dan perasaan bersalah kerana menghukum anaknya tanpa usul periksa petang tadi semakin kuat. Satu sampul surat di atas meja bilik menarik perhatian mereka berdua.








Ke hadapan orang yang paling disayangi. Sekiranya ibu dan ayah sedang membaca surat ini, ketahuilah yang adik telah pergi jauh dari rumah yang indah ini. Maafkan adik, andai ini mengguris perasaan ibu dan ayah. Tapi adik tidak sanggup lagi menahan diri ini. Ibu dan ayah tidak pernah sekalipun cuba untuk memahami perasaan adik. Setiap kali ada sesuatu yang buruk dan tidak diingini berlaku, adiklah yang selalu menjadi mangsa. Adik nak bagi tau ayah, adik sayangkan ayah. Adik tak sanggup nak buat kesilapan pun, apatah lagi melakukannya. Tapi ayah selalu tuduh adik dan hukum adik macam adik ni bukan anak sendiri. Lepas tu adik selalu ingin meluahkan perasaan kepada ibu, tapi ibu selalu tak peduli dan jarang sekali cuba untuk memahami adik. Adik tak nak jadi anak derhaka, tapi inilah satu-satunya cara untuk adik tidak melukakan hati ibu dan ayah lagi. Adik tau, setiap kali ada masalah adik yang akan dituduh menjadi penyebabnya. Jadi kalau adik sudah tiada, adik tidak lagi menjadi penyebab kepada segala masalah ibu dan ayah. Oleh itu, adik ingin minta maaf ibu dan ayah dan halalkan segala makan minum adik. Adik pergi dulu.





Oh ya, adik dapat 8A dalam PMR. Assalamualaikum.








Habis saja membaca surat tersebut, telefon di ruang tamu berdering. Ibu menyambutnya. Seorang lelaki bersuara dengan nada yang agak mendatar bercakap di talian. "Ini rumah nombor 10 Taman Putrajaya ke? Anak puan accident dilanggar kereta tadi. Minta maaf, kami telah buat yang terbaik untuk dengan menghantarnya ke hospital" habis saja orang itu berkata, Ibu terus menangis. "Bang, anak kita bang. Accident..." kata ibu dengan suara yang mendayu-dayu. Dengan secepat yang mungkin mereka bersedia lalu pergi ke hospital.








Ayah menjadi sangat menyesal dengan tindakannya selama ini yang asyik menyalahkan Balqis dalam setiap perkara. Sepanjang perjalan dia tidak henti-henti memikirkan tentang anaknya itu. Sampai saja ke hospital, mereka terus meluru ke bilik tempat anaknya sedang dirawat. Ketika berada di muka pintu, mereka melihat keadaan anak mereka yang sangat tidak bermaya. Balqis yang tadinya lemah tiba-tiba bergerak memalingkan mukanya ke arah ibu bapanya. "Mak... Ayah... Maafkan adik. Adik tak bersalah..." Tiba-tiba mesin jantung berbunyi tanpa henti. Doktor dan jururawat dikejarkan ke bilik itu dan ibu bapa Balqis diarahkan untuk keluar bagi memberi laluan kepada kes kecemasan itu. Ketika di luar bilik, ibu cuma mampu meraung menangisi keadaan anaknya itu. Ayah Balqis pula langsung tidak dapat berhenti menyesal. Di dalam fikirannya cuma satu:





"Kalaulah aku tidak bertindak melulu selama ini"